CUEPACS memohon pertimbangan kerajaan untuk memberi bantuan khas kewangan sempena sambutan Aidilfitri kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan.
Presidennya, Adnan Mat berkata secara tradisinya kerajaan setiap tahun akan memberi sejumlah bantuan khusus untuk penjawat awam dan pesara kerajaan bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Katanya, CUEPACS merasakan pemberian bantuan kewangan itu wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di samping meringankan beban mereka semua.
“Pemberian ini juga wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada 2012 dan selepas itu hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja.
“CUEPACS telah menghantar surat kepada Perdana Menteri mengenai perkara ini dan terpulang kepada pertimbangan beliau untuk meluluskan permintaan tersebut kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.
“CUEPACS juga berharap kerajaan negeri turut memberi bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata ketika ini hanya kerajaan Johor telah bersetuju memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri berkenaan.
“CUEPACS mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Johor dan berharap ia dituruti oleh kerajaan Persekutuan dan lain-lain negeri.
“Dalam masa sama, CUEPACS berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikai sekiranya kerajaan memberikan bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam.
“Kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas itu secara tidak langsung turut memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.
“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain,” katanya. – Malaysiapost

