AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyumbang lima komputer riba kepada Sekolah Menengah Arab Tahfiz ibn al-Qayyim di Bukit Mertajam, semalam.
Steven menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan bahawa beliau menerima mesej daripada pengetua tahfiz berkenaan yang memerlukan komputer riba bagi pembelajaran pelajar-pelajarnya.
Justeru, katanya, tanpa berfikir panjang beliau terus meluluskan permintaan itu.
“Apabila saya mendapat WhatsApp daripada En Roslee, Pengetua Sekolah Menengah Arab Tahfiz ibn al-Qayyim di Bukit Mertajam untuk lima laptop, saya segera memberi kelulusan.
“Sebab kalau untuk pendidikan anak-anak, kita tak nak proses yang susah-susah. Jalan terus,” katanya.
Steven berkata, beliau turut berpeluang menyaksikan bacaan Al-Quran oleh salah seorang pelajar ketika melawat ke sekolah itu.
Sehubungan itu, beliau memastikan komputer riba berkenaan disediakan dengan perisian berkaitan Al-Quran untuk memudahkan sesi pembelajaran mereka.
“Teringat kata-kata Saudara Lim Guan Eng satu ketika dahulu bahawa, jika orang Islam di Pulau Pinang menghafal Al-Quran mereka akan menjadi rakyat yang baik.
“Justeru, di Pulau Pinang, walaupun kena lontar macam-macam fitnah, orang Islam digalakkan menghafal Al-Quran, sehingga para hufaz diberi penghormatan kerajaan negeri setiap tahun dalam bentuk insentif kewangan.
“Malah, ‘Laptop’ saya juga minta ‘install’ siap-siap software Al-Quran. Senang nanti pihak sekolah dan para pelajar nak guna,” katanya.
Sebelum ini Steven mencuri perhatian apabila membantu ibu 10 anak yang dihalau dari rumah serta membeli motosikal kepada seorang penghantar makanan yang sebelum itu hanya menggunakan basikal. – Malaysiapost

