JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini memberi jaminan pendaftaran individu sebagai penerima vaksin tidak akan terbatal jika terlepas panggilan telefon bagi menetapkan tarikh temu janji.
JKJAV memaklumkan panggilan telefon adalah antara cara digunakan untuk pemberitahuan tarikh temu janji kepada individu yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.
Katanya, sekiranya individu berkenaan tidak menjawab panggilan tersebut, nama mereka tidak akan terbatal daripada sistem.
“Untuk makluman, panggilan telefon adalah antara cara anda akan terima tarikh temu janji dan peringatan (tarikh penerimaan vaksin).
“Namun, nama anda tidak akan terbatal sekiranya anda tidak menjawab panggilan telefon,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Penjelasan itu bagi menjawab satu siri twit daripada netizen yang mendakwa pendaftaran penerima vaksin Covid-19 akan terbatal sekiranya individu terlepas panggilan untuk mengesahkan temu janji.
Selain panggilan telefon, JKJAV turut memaklumkan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera juga akan menerima tarikh temu janji melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan notifikasi dalam MySejahtera, 14 hari sebelum tarikh berkenaan.
“Namun, anda perlu sahkan kehadiran dalam masa 48 jam. Jika tidak berjaya menjawab atau anda menjawab TIDAK, tarikh anda akan dijadualkan semula,” katanya.
Pemohon yang sudah menerima SMS boleh menyemak status temu janji di MySejahtera, vaksincovid.gov.my dan 1800-888-828 dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau pasport dan nombor telefon berdaftar.
-Malaysiapost

