Pelajar kolej dikompaun: PKN mahu hulur bantuan pembayaran

0
3

PERTUBUHAN Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wilayah Persekutuan mahu menghulurkan bantuan pembayaran kepada enam pelajar sebuah pusat Matrikulasi di Perak yang dikompaun akibat ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengerusinya, Nor Hizwan Ahmad berkata, pihaknya prihatin dengan nasib pelajar-pelajar itu yang dikompaun atas kesalahan tidak mematuhi SOP.

Justeru katanya, PKN Wilayah Persekutuan bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Difahamkan para pelajar yang datangnya dari keluarga berpendapatan rendah tersebut telahpun membuat permohonan bagi pengurangan denda terhadap jumlah kompaun yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekalipun jumlah yang dibayar adalah lebih rendah dari nilai sebelum ini, ia tetap membebankan para pelajar dan keluarga mereka.

“Kita akui bahawa kesalahan pelanggaran SOP adalah satu perkara serius dan penguatkuasa KKM hanya menjalankan tugas mereka sahaja. Namun begitu, kita juga perlu memikirkan nasib para pelajar tersebut yang datangnya dari keluarga kurang berkemampuan dan tekanan ekonomi yang sedang mereka hadapi pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, PKN Wilayah Persekutuan akan membantu para pelajar berkenaan dengan membayar semula jumlah kompaun yang telah dibayar kepada pihak KKM ataupun membayar terus kepada KKM bagi pihak para pelajar tersebut sekiranya pembayaran denda belum dibuat.

“Kami memohon agar pihak pelajar atau keluarga mereka dapat menghubungi PKN Wilayah Persekutuan dengan segera bagi urusan penyaluran bantuan ini,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/20/pelajar-dikompaun-dalam-kolej-dr-noor-hisham-jamin-siasatan-segera/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here