POLIS bersiap sedia membuat pemeriksaan rumah ke rumah seperti tahun lalu sempena Aidilfitri nanti bagi memastikan tiada aktiviti rentas negeri tanpa kebenaran.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata strategi itu dijangka akan digunakan dan ditambah baik memandangkan larangan rentas negeri masih berkuatkuasa sehingga kini, lapor Bernama.
“Kita akan buat pemeriksaan sama ada mereka mempunyai surat kebenaran untuk balik (kampung) dan sebagainya.
“Pemeriksaan akan dilakukan mengikut beberapa aspek seperti jumlah kereta yang banyak di sesuatu rumah itu,” katanya selepas melancarkan Buku 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013, mengisahkan pengorbanan anggota semasa peristiwa itu di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta hari ini.
Abdul Rahim seterusnya menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang hanya membenarkan perjalanan rentas negeri pada Isnin hingga Khamis, tidak termasuk bagi kes kecemasan dan kematian berikutan ramai pihak salah faham pengumuman mengenainya Isnin lepas.
Menurutnya mereka yang mempunyai kes kecemasan, kematian dan sebagainya masih dibenarkan pada Jumaat hingga Ahad dan sesiapa yang mempunyai urusan kerja pada hujung minggu juga perlu mengemukakan surat sokongan untuk memperoleh kebenaran rentas negeri.
Sementara itu Abdul Rahim berkata pihaknya sedang menyediakan prasarana bagi tambahan briged di Sabah dan batalion di Sarawak, seperti penyediaan ibu pejabat dan penempatan anggota PGA; sebelum anggota tambahan digerakkan ke kawasan kem-kem berkenaan.
Beliau berkata rancangan tambahan anggota Komando VAT69 daripada 692 orang setakat ini kepada hampir 1,000 orang telah melalui proses neutralisasi dan akan dibentang kepada pucuk pimpinan PDRM, seterusnya kepada Kementerian Dalam Negeri.
Katanya proses neutralisasi itu turut melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) yang kini diletakkan di bawah tanggungjawab PDRM yang mana penugasannya masih sedang dalam perbincangan dengan pihak KDN termasuk SOP tugas pasukan itu. – Malaysiapost

