6 pelajar kolej dapat pengurangan kompaun, KKM buka kertas siasatan

0
2

JABATAN Kesihatan Perak mengesahkan enam pelajar sebuah kolej di negeri itu yang dikompaun kerana tidak memakai pelitup mula, telah mengemukakan rayuan bagi pengurangan kompaun.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada.

Bagaimanapun katanya, rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan pihak pengurusan kolej atas alasan pelajar tersebut dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu menjelaskannya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kertas siasatan terhadap isu tersebut akan dibuka dan siasatan lanjut akan dijalankan untuk dibawa ke pertimbangan pihak pengurusan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Teguran tegas juga diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Lay Ming menjelaskan kejadian tersebut berlaku di premis kolej berkenaan pada jam 3.45 petang, 19 April lalu.

Menurutnya, ketika berada di lokasi tersebut, anggota bertugas mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP dalam kalangan pelajar kolej berkenaan.

“Iaitu, tidak memakai pelitup muka; tidak memakai pelitup muka dengan lengkap; dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

“Justeru, kompaun dikeluarkan ke atas enam pelajar di bawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh anggota bertugas kepada pihak pengurusan kolej pada hari sama setelah kompaun dikeluarkan.

“Pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan pelajar telah diadakan pada hari ini di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran,” katanya lagi.

Terdahulu tular di media sosial, sekumpulan pelajar di sebuah matrikulasi di Perak dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup mulut di dalam kolej.

Tindakan terhadap pelajar itu menimbulkan kekesalan netizen memandangkan pelajar tersebut langsung tidak kemana-mana sejak semester dibuka lima bulan lalu.

Difahamkan, pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan mengenakan kompaun kepada mereka tanpa budi bicara.

Justeru itu, ia mendapat maklum balas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memberi jaminan siasatan segera akan dijalankan susulan perkara itu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/20/pelajar-dikompaun-dalam-kolej-dr-noor-hisham-jamin-siasatan-segera/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here