Nurul Huda Abhar
KERAJAAN perlu memberi penjelasan atas kelewatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), tegas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, PICK kini telah memasuki fasa kedua namun begitu ramai yang mempersoalkan mengapa perjalanan proses pemberian vaksin Covid-19 sangat perlahan.
“Di sinilah penjelasan kerajaan sangat diperlukan. Maklumkan jadual sebenar perolehan vaksin agar jangka waktu lebih realistik dapat meredakan segala kegusaran rakyat.
“Berkaitan pendaftaran vaksin, sangat perlu ia digiatkan. Dasar “Lindung Diri, Lindung Semua” amatlah penting.
“Kita tidak boleh memaksa rakyat untuk divaksinasi. Namun kita boleh meyakinkan mereka melakukannya dengan sukarela,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad berkata, berlainan pula bagi pihak warga asing kerana ramai antara mereka tidak tahu cara mendaftar sebagai penerima vaksin, terutama yang tidak mempunyai dokumen sah serta usaha bagi meyakinkan mereka bukan mudah.
Menurutnya, setelah lebih setahun berhadapan pandemik Covid-19, Malaysia telah menanganinya dengan baik walaupun banyak lagi ruang untuk penambahbaikan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan masalah serumit pandemik Covid-19.
“Semua episod ini mewajarkan Malaysia mempunyai strategi klinikal, vaksinasi, mitigasi dan ‘prevention’ yang benar-benar terpadu.
“Pembangunan vaksin umpamanya, adalah antara kebitaraan penting yang Malaysia mesti punyai. Kita tidak boleh selamanya menjadi negara pengguna atau medan ujian klinikal semata-mata,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau menyifatkan pandemik Covid-19 adalah ancaman keselamatan baharu.
Katanya, pelaburan dalam sains serta penyelidikan berkaitan vaksin, adalah suatu kemestian strategik.
“Benar kita tidak mempunyai kepakaran waktu ini. Tetapi sains adalah tentang kolaborasi dan perkongsian dalam ekosistem yang produktif.
“Menjadi sebahagian dari ekosistem penyelidikan sains termaju rentas disiplin dan geografi ini bukan lagi pilihan buat Malaysia, tetapi suatu kemestian,” katanya.
Sementara itu, katanya, strategi padu itu sangat diperlukan kerana pendekatan ‘piecemeal’ dalam menangani persoalan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya adalah tidak selari dengan kepentingan Malaysia.
Isnin lalu, media melaporkan pendaftaran PICK di negeri Pulau Pinang masih perlahan walaupun telah memasuki fasa kedua program berkenaan.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, setakat Sabtu lalu, jumlah pendaftaran penerima vaksin di negeri itu ialah seramai 619,804 iaitu sekitar 44.8 peratus. – Malaysiapost

