DOAKAN saya kuat, kata penyanyi, Datuk Nash yang cedera selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 250.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Seremban, semalam.
Menerusi satu hantaran video di Facebook, penyanyi berusia 61 tahun itu memaklumkan keadaannya stabil dan menerima sedikit jahitan di bahagian atas dan bawah bibir.
“Cuma sakit sangat urat di belakang saya. Rasa macam tegang sangat. Memang sakit. Sakit sangat-sangat,” kata Nash yang kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, Toyota Harrier dinaiki Nash atau nama sebenarnya Nasharudin Elias dipercayai terbabas sendiri dan tidak membabitkan kenderaan lain.
Ketika kejadian, penyanyi rock itu dalam perjalanan dari arah Johor ke Kuala Lumpur bersama pemandunya sebelum kenderaan terbabit melanggar lopak air menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.
Pemandu kenderaan itu yang berumur 33 tahun dilaporkan cedera ringan.
Menurut Nash lagi, beliau memohon memohon doa orang ramai agar cepat sembuh daripada musibah tersebut.
“Doa awak semua adalah doa yang mustajab. Terima kasih kerana doakan saya. Insya-Allah, doakan saya kuat,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/20/nash-cedera-kemalangan-di-lebuh-raya-utara-selatan/

