Bagaimana nasib 30 juta rakyat terletak di tangan seorang individu?

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) didakwa telah putus harapan terhadap kebijaksanaan sidang dewan perundangan serta menganggap ia bukan lagi wadah terbaik bagi membincangkan penyelesaian terhadap kemelut rakyat.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata ini kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi negara, Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggunakan wang negara mengikut budi bicaranya sendiri, tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.

Dalam soal membelanjakan duit rakyat dan hasil kerajaan, katanya, tidak sewajarnya kerajaan dilepaskan daripada proses penelitian ketat, tidak kira serumit atau sesukar mana sekalipun keadaan yang dihadapi negara

“Jika benar kerajaan memerlukan dana tambahan untuk mengatasi wabak Covid-19, maka bentangkanlah semua di Parlimen melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan.

“Saya percaya ahli-ahli Parlimen pasti akan menyokong dan undi setuju sekiranya perancangan tersebut munasabah dan amat diperlukan, malah mampu untuk memberi tambah nilai yang lebih menyeluruh.

“Kini, seluruh nasib 30 juta rakyat Malaysia dan negara betul-betul terletak di atas tangan seorang individu sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mustafa Shah berlaku, keadaan itu berlaku apabila kerajaan PN mewartakan pindaan ordinan darurat yang membolehkan Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan belanjawan tambahan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa tempoh darurat.

“Saya berpandangan bahawa pindaan ini secara langsung telah melanggar prinsip demokrasi yang secara bijaksana telah meletakkan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap sidang Parlimen.

“Sekiranya Parlimen telah dimansuhkan peranan untuk menyemak perancangan, tindakan dan keputusan kerajaan yang memerintah terutamanya melibatkan perbelanjaan duit negara, maka apa ertinya,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta kerajaan PN terutama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera memulihkan demokrasi di negara ini.

“Hal yang melibatkan untung nasib negara serta kemaslahatan bersama harus dipulangkan kepada rakyat melalui wakil yang mereka pilih semasa pilihan raya lalu.

“Ini bagi memastikan suara rakyat di seluruh pelusuk negara dapat didengari oleh kerajaan sama ada di Dewan Rakyat ataupun DUN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here