MANCHESTER United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham mengikuti Chelsea dan Manchester City untuk menarik diri daripada cadangan Liga Super Eropah (ESL).
City dan Chelsea terlebih dahulu mengesahkan mereka menarik diri dari pertandingan itu semalam.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menerusi kenyataan menyebut: “Kelab Bola Sepak Manchester City dapat mengesahkan bahawa ia telah secara rasmi menarik diri dari kumpulan yang mengembangkan rancangan untuk ESL.”
Menjelang malam tadi, empat baki ‘Big Six’ Liga Perdana membuat pengumuman bahawa mereka tidak akan membentuk liga berkenaan.
“Kami melakukan kesalahan, dan kami meminta maaf untuk itu,” kata Arsenal.
“Kami tahu ini akan mengambil masa untuk mengembalikan kepercayaan anda terhadap apa yang ingin kami capai di Arsenal tetapi kami harus jelas bahawa keputusan untuk menjadi sebahagian daripada ESL didorong oleh keinginan kami untuk melindungi Arsenal, kelab yang anda cintai, dan untuk menyokong permainan yang anda sukai melalui perpaduan dan kestabilan kewangan yang lebih besar.”
Manchester United pula menyatakan: “Kami telah mendengar dengan teliti reaksi dari peminat kami, pemerintah UK dan pihak berkepentingan utama lainnya. Kami tetap komited untuk bekerja dengan semua pihak di seluruh komuniti bola sepak untuk menghasilkan penyelesaian yang mampan untuk jangka panjang menghadapi cabaran.”
Liverpool menyatakan: “Beberapa hari kebelakangan ini, kelab telah menerima maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan utama, baik secara dalaman dan luaran, dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan berharga mereka.”
Pengerusi Tottenham, Daniel Levy pula memberitahu laman web kelab: “Kami menyesali kegelisahan yang disebabkan oleh cadangan ESL.
City, Manchester United, Liverpool, Arsenal, Tottenham dan Chelsea sebelum ini mengumumkan menyertai ESL.
Pasukan lain yang bersetuju mewujudkan liga berkenaan adalah Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus.
Saingan ESL membabitkan 12 kelab Eropah mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA). – Malaysiapost

