Angkara bapa tiri, kanak-kanak 3 tahun positif dadah

0
2

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didapati positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina dipercayai angkara bapa tirinya.

Susulan itu polis kini memburu lelaki terbabit yang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kes berkenaan daripada doktor di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (Wad Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur) berkaitan ujian air kencing terhadap kanak-kanak itu tiga hari lalu.

Mohd Fazley berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dijaga oleh bapa tirinya di Nilai pada 14 April lalu.

“Keesokan harinya, ibu kepada kanak-kanak itu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan kerana melihat anaknya berkelakuan aneh dan tidak seperti kebiasaannya.

“Rawatan di hospital berkenaan mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, alamat terakhir lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit pakaian bernama Mohd Faresh Khalid berusia 38 tahun di C-13-7 Apartment Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan PT 8413 Jalan 5/4B, Taman Desa Jasmin, Nilai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-800 5225 dan Pegawai Penyiasat Inspektor Rozainita Aida Mohamed Bakri di talian 011-3333 0025/ Inspektor Normi Hashim (013-694 9623) atau balai polis berhampiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here