Geng plastik hitam kantoi beli ‘nasi anak’

0
2

MEMBELI nasi untuk anak menjadi alasan seorang pekerja buruh kepada penguatkuasa yang menyerbu sebuah gerai di Taman Ria, Sungai Petani.

Bagaimanapun, alasan pekerja buruh berusia 33 tahun itu kantoi apabila rakannya yang menunggu di dalam kereta ‘kelam kabut’ melarikan diri setelah menyedari berlaku serbuan.

Dia akhirnya mengaku membeli makanan pada kira-kira jam 12 tengah hari itu adalah untuknya kerana penat bekerja dan bercadang untuk makan dalam kereta bersama rakannya.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, lelaki itu diberi notis dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke lokasi seterusnya mendapati sebuah kedai makan turut menyediakan makanan kepada pelanggan tanpa segan silu dengan menampal nombor telefon di luar kedai bagi memudahkan tempahan.

“Biarpun kedainya agak terpencil serta nampak seperti ditutup, tetapi setelah diperiksa, didapati beberapa wanita di dalamnya sedang memasak, selain terdapat lauk yang telah berkurangan disyaki telah dijual lebih awal kepada pelanggan,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.

Mohd Noor Ismardi berkata, wanita berusia 50-an itu memberi alasan menyediakan makanan untuk pekerja kilang bukan Islam, namun terpaksa menjual kepada kaki ponteng puasa apabila mereka datang membeli.

Sebelum itu, pasukan penguatkuasa telah menyerbu ke sebuah kedai kopi milik bukan Islam yang terletak di Jalan Petri dan menemui beberapa lelaki sedang berbual di meja makan, kira-kira jam 11 pagi.

Dua lelaki ini mengaku tidak minum, tetapi hanya berbual. Bagaimanapun, di atas meja terdapat dua gelas minuman.

Pemerhatian lanjut turut mendapati terdapat beberapa gelas minuman berisi air berada di atas meja sama, namun ketika disoal, mereka menafikan gelas terbabit miliknya dan menjelaskan berada di situ bukan untuk minum, sebaliknya hanya bersembang bersama rakan.

Mohd Noor Ismardi berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 14(a) Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Operasi disertai 38 anggota penguatkuasa termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, PAD Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Cawangan Penyiasatan Khas dan NGO Skuad Badar.

MPSPK turut mengeluarkan empat kompaun kepada peniaga kerana didapati menjalankan perniagaan sebelum jam 3 petang di bulan Ramadan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here