KERAJAAN melahirkan rasa dukacita di saat-saat semua jentera kerajaan menumpukan segala usaha termasuk kewangan untuk memerangi Covid-19, terdapat sesetengah pihak cuba membuat tafsiran undang-undang mengikut selera sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ia seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.
Sebagai badan profesional bidang undang-undang, katanya, beliau yakin Majlis Peguam tetap mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara serta akan terus menentang usaha memesongkan kehendak undang-undang.
“Ini terutamanya ketika negara berada dalam keadaan kritikal dan getir dengan penularan berterusan wabak Covid-19 ini.
“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata pada masa kini, negara berada dalam suasana darurat dari segi undang-undang apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan.
Maka katanya, berdasarkan peruntukan Perkara 150(1), Baginda mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021, berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021, selama sekitar 6 bulan 20 hari.
“Darurat besar tersebut ekoran penularan Pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
“Langkah ini jelas merupakan usaha serius dan berfokus kerajaan dalam rangka memperkasakan usaha membasmi wabak penyakit berjangkit Covid-19 ini termasuklah menggubal dengan segera Ordinan-Ordinan yang perlu semasa tempoh darurat.
“Kerajaan mengharapkan langkah yang semata-mata menumpukan kepada aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial ini difahami sepenuhnya semua lapisan masyarakat demi kebaikan individu, komuniti dan negara keseluruhannya,” katanya.
Sebagai Menteri Undang-Undang, beliau juga meminta Majlis Peguam Malaysia serta semua pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang-undang yang termaktub, termasuk memberikan kefahaman serta pencerahan tentang undang-undang kepada masyarakat. – Malaysiapost

