PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Syahmi Safari mengakui mengalami kemerosotan prestasi dalam beberapa perlawanan terakhir bersama Selangor FC dalam saingan Liga Super musim ini.
Begitupun jaringan kemenangannya menerusi tendangan volley kaki kiri ketika Gergasi Merah menewaskan Melaka United FC (MUFC) di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu, pasti menyuntik semangatnya untuk tampil lebih konsisten selepas ini.
“Insya-Allah, jika diberi peluang kembali ke kesebelasan utama, saya akan terus memberikan yang terbaik.
“Sebelum ini saya sedar persembahan saya tak begitu baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Jadi, saya perlu terus berusaha untuk jadi lebih baik.
“Sebagai pemain, kita perlu sentiasa memperbaiki prestasi sedikit demi sedikit untuk menjadi lebih baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Selangor FC hari ini.
Sejak beberapa perlawanan lalu, Syahmi terpaksa memanaskan bangku simpanan Selangor FC dan tempatnya sebagai bek kanan diambil alih A Namathevan.
Bagaimanapun ketika menentang MUFC, Syahmi yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua tampil dengan persembahan cemerlang.
Ia sekali gus membantu Selangor bangkit dua kali dari ketinggalan untuk akhirnya menang 3-2 dan meraih tiga mata di tempat lawan. – Malaysiapost

