Nurul Huda Abhar
PROSES penutupan sekolah yang disahkan mempunyai kes positif Covid-19, perlu dipercepatkan, tegas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Presidennya, Amiruddin Awang berkata ketika ini proses penutupan yang sangat lambat menimbulkan kebimbangan dan risiko jangkitan baharu khususnya dalam kalangan guru dan murid.
Beliau berkata terdapat aduan di mana apabila guru atau murid menjadi kontak rapat atau positif Covid-19, proses untuk menutup sekolah agak lambat.
“Ini akan menimbulkan suasana tidak selesa dan bimbang dalam kalangan guru dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.
“Kita minta apabila ada sahaja dikenalpasti guru, staf atau murid yang sudah dijangkiti Covid-19, kita mengharapkan proses penutupan sekolah dapat dijalankan dengan lebih cepat.
“Kita tidak minta untuk tutup semua sekolah, tapi hanya sekolah yang mempunyai risiko iaitu ada yang disahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Sementara itu, Amiruddin berkata, guru-guru sentiasa terdedah dengan risiko kerana murid yang datang ke sekolah itu tidak diketahui status.
“Mereka tiada gejala malah suhu badan yang direkodkan normal. Tetapi dalam kalangan mereka ada yang telah dijangkiti Covid-19. Jadi kita yakin bahawa penularan yang berlaku bukan berpunca daripada dalaman sekolah.
“Tidak nampak penularan ini bermulanya di sekolah. Ia dari luar dan dibawa ke sekolah. Jika ia dibawa ke sekolah akan ada kontak rapat itu dalam kalangan masyarakat sekolah. Itu yang kita nampak punca merebaknya virus ini,” ujarnya.
Sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari bermula hari ini bagi mengekang penularan Covid-19.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, langkah itu dicadangkan sendiri kerajaan negeri kepada Kementerian Pendidikan (KPM) susulan peningkatan kes melibatkan warga sekolah. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

