Tiada keperluan tubuh RCI siasat dakwaan KPN – Takiyuddin

0
2

TIADA keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujudnya gerakan sulit bagi menjatuhkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebaliknya perkara itu akan diselesaikan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) seperti dimaklumkan Menteri Dalam Negeri (KDN), lapor Malaysiakini.

“Saya rasa tidak timbul masalah itu sebagaimana disebut menteri. Itu masalah dalaman yang hanya perlu dikendalikan oleh SPP. SPP ini dipengerusikan menteri KDN dan ketua polis negara pun ahlinya.

“Bagi saya tiada masalah besar pun untuk menyelesaikan perkara ini. Serah saja kepada SPP,” katanya kepada media selepas program Malaysia Prihatin di Kota Bharu hari ini.

Pada perkembangan berkaitan, Takiyuddin menegaskan perjalanan kerajaan tidak terjejas walaupun Dewan Rakyat tidak bersidang susulan Proklamasi Darurat yang masih berkuat kuasa.

Beliau mengambil contoh Darurat 1969 di mana selama dua tahun Parlimen pada masa itu tidak bersidang.

“Kita baru bersidang pada Disember baru-baru ini ketika kita luluskan belanjawan. Baru empat bulan tak bersidang, jadi tak timbul masalah.

“Kalau tahun 1969 dulu, dua tahun Parlimen tidak bersidang pun, tidak ada masalah dalam perjalanan kerajaan,” katanya lagi.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan pemimpin politik supaya kerajaan membenarkan Dewan Rakyat bersidang dalam masa segera.

Untuk rekod, darurat pada 1969 itu merujuk kepada peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan berlakunya rusuhan disebabkan salah faham antara kaum.

Sementara itu Takiyuddin berkata, Parlimen hanya akan bersidang selepas tempoh darurat ditamatkan dan sehingga tarikh difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong.

“Insya-Allah Parlimen akan bersidang selepas darurat tamat, ordinan sebut bila-bila tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong, baginda akan bertindak menjalankan fungsinya memanggil parlimen berdasarkan nasihat dan pandangan yang diberi jemaah menteri.

“Dalam tempoh Covid-19 ini jemaah menteri akan beri pandangan berdasarkan fakta dan sains. Sains ini Covid-19, faktanya kita tengok keadaan kesihatan seperti yang saya sebutkan.

“Ramai kumpulan berisiko ini dalam dewan rakyat, saya sendiri pun sudah warga emas. Jadi itu diambil kira,” kata beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here