EXCO Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyelar kata-kata biadap seorang pemimpin Bersatu yang menggelar kluster mahkamah dalam Umno sebagai kluster binatang.
Sebaliknya beliau berkata melompat parti adalah tindakan yang lebih teruk kerana mengkhianat mandat dan undi rakyat.
Beliau berkata, golongan lompat parti ibarat tiada maruah dan sanggup menjual undi rakyat demi tamak kuasa, dan menyelamat diri daripada dikenakan tindakan mahkamah atas salahlaku masing-masing.
“Ini lebih hina daripada kluster mahkamah yang dianggap beliau sebagai ‘Kluster Binatang.’
“Mana-mana pemimpin Umno yang telah disabitkan atau dituduh di mahkamah, banyak saya lihat, hanya sebagai tawanan politik untuk dijadikan peluru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, walhal Perikatan Nasional (PN) lebih ramai kluster yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata gelaran kluster mahkamah kepada pimpinan Umno yang dijaja pemimpin Bersatu menyerlahkan sikap sebenar pimpinan parti itu yang biadap dan lupa sejarah.
Noor Hariri mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman bahawa jika tidak kerana sokongan pimpinan Umno, tidak merasalah parti itu menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetepikan sejarah lampau mereka dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, demi untuk menyelamatkan rakyat daripada kerakusan Pakatan Harapan dan DAP kembali memerintah.
“Faiz jangan lupa, Zahid dan Najib jugalah banyak memberi idea pembaikan terhadap Belanjawan 2021 yang lepas yang menekankan isu keperluan rakyat seperti pengeluaran caruman KWSP dan lanjutan moratorium.
“Mereka berdua jugalah yang berusaha sebaik supaya Belanjawan tersebut dapat diluluskan semasa proses undian di Parlimen,” katanya hari ini.
Terdahulu, Muhammad Faiz melabel kluster mahkamah Umno sebagai binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.
“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.
“Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya. – Malaysiapost

