Nurul Huda Abhar
“SAYA teruja tahun ini kali pertama berpeluang berniaga pada bulan Ramadan,” kata Mohd Nor Abdullah atau mesra disapa ‘Dekk Mat’ yang meniaga Nasi Lemak Bujang.
Perniagaan Dekk Mat, 29, sebelum ini tular selepas beliau mencuri perhatian ramai kerana biarpun mempunyai kekurangan di bahagian tangan itu tidak melumpuhkan semangatnya untuk berniaga.
Dekk Mat ketika dihubungi Malaysiapost baru-baru ini memberitahu gerai Nasi Lemak Bujang miliknya masih beroperasi di lokasi sama iaitu berhampiran dengan Transit Aliran Ringan (LRT) stesen Cheras.
Menurut Dekk Mat, selain menu nasi lemak gerainya menyediakan beraneka jenis kuih, mi dan bihun goreng serta nasi berlauk.
“Paling istimewa semua makanan yang dijual disediakan sendiri oleh emak saya. Syukur sebab emak banyak membantu bertungkus lumus memasak semua juadah.
“Ini juga permulaan bagi saya dan emak untuk berniaga pada bulan Ramadan tahun ini. Berdebar juga… Insya Allah pelanggan kami yang pernah beli mesti datang,” katanya.
Dekk Mat berkata, operasi jualan di gerainya pada Ramadan ini bermula 3 petang hingga 7 malam, dan akan dibantu oleh ibunya ketika berniaga.
Mengambil kira tahun ini kerajaan membenarkan bazar Ramadan dan gerai makanan beroperasi, Dekk Mat berharap agar perniagaannya mendapat sambutan ramai.
Menurutnya, sejak memulakan peniagaan sekitar November tahun lalu, pendapatan diterima sangat memberangsangkan.
“Tahun lepas semasa Ramadan kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi tidak ada gerai dan bazar dibenarkan. Jadi kali ini saya harap sangat gerai saya dan peniaga-peniaga lain dapat sambutan.
“Saya bersyukur berpeluang dapat berniaga tahun ini. Mudah-mudahan rezeki saya, emak dan gerai kami dapat ramai pelanggan. Harap orang di luar sana sudilah singgah gerai saya,” katanya lagi.
Kisah kecekalan peniaga istimewa ini menjadi inspirasi kepada orang ramai, malah mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Dekk Mat dihadiahkan ‘gerai Mary’ bagi memudahkannya untuk berniaga dan ianya dinamakan inspirasi dari kisah Mary Mariamah, ibu tunggal yang menjaja nasi lemak yang turut menerima bantuan Kementerian Wilayah Persekutuan. – Malaysiapost

