BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan kerajaan yang masih belum membuat keputusan menaikkan tempoh kuarantin bagi individu pulang dari luar negara khususnya India.
Najib berkata, perkara itu penting bagi memastikan negara selamat daripada risiko mutasi berkembar India daripada menular ke negara ini.
“Kenapa susah sangat untuk naikkan tempoh kuarantin wajib antara 4 hingga 7 hari supaya negara lebih selamat dan risiko mutant berkembar India yang masih kurang difahami ini menular ke Malasyia dapat dikurangkan?.
“Siapa dalam kerajaan PN nak tanggung jika jangkitan baru Covid juga naik 30 kali ganda di Malaysia seperti apa yang berlaku di India sekiranya mutasi berkembar ini berjaya tular ke sini?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran itu, Najib berkongsi laporan Malaysipost semalam, berhubung desakan beliau meminta kerajaan melaksanakan semula tempoh kuarantin wajib selama 14 hari berbanding 10 hari bagi individu pulang dari luar negara khususnya India.
Najib memberi cadangan itu kerana bimbang mutasi berkembar India yang dipercayai menyebabkan kes baharu Covid-19 melonjak setiap hari di negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau bukan meminta kerajaan menyekat kemasukan pelawat dari India sebaliknya mengambil langkah selamat dengan hanya menaikkan tempoh kuarantin berkenaan.
“Saya tak suruh sekat tapi sekurang-kurangnya naikkan semula tempoh kuarantin wajib 7-10 hari kembali ke 14 hari terutamanya bagi pelawat dari India.
“Sekurang-kurangnya sehingga dunia lebih faham tentang varian dengan mustasi berkembar yang disyaki telah menyebabkan kes baru Covid India naik sehingga 30 kali ganda dalam tempoh lebih sebulan dan dikatakan lebih mengancam anak muda dan kanak-kanak,” katanya.
Najib berkata, beberapa negara seperti Hong Kong, United Kingdom dan Pakistan memutuskan untuk menyekat pelawat dari India.
“Saya buat saranan ini dua hari lalu. Tapi kerajaan PN rileks saja,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/19/naikkan-semula-tempoh-kuarantin-wajib-terutama-dari-india-najib/

