AYAHANDA Tengku Permaisuri Selangor, Abdul Rahman Baba meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira jam 3.40 pagi tadi.
Allahyarham yang berusia 89 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam.
Berita tersebut dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Selangor Royal Office.
Allahyarham akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Zohor hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Facebook rasminya merafak sembah takziah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin atas pemergian ayahanda Tengku Permaisuri Selangor.
“Mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan dosa dan ditempatkan di kalangan mukmin yang soleh serta mendapat husnul khatimah,” katanya. – Malaysiapost

