SEORANG rakyat Malaysia ditahan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura pada Jumaat lalu bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat lebih 40 kilogram (kg) bernilai RM7.1 juta.
Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan di sekitar Choa Chu Kang Ave 4, Singapura.
CNB Singapura dalam kenyataan di laman webnya memaklumkan lelaki terbabit ditahan bersama empat bungkusan dipercayai mengandungi ganja seberat 3,915 gram.
“Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut di kediaman suspek di kawasan berhampiran menemui lapan bungkusan mengandungi 3,782 gram heroin dan dua bungkusan mengandungi kira-kira 2,033 gram syabu serta 110 tablet pil ecstasy disembunyikan dalam bilik tidur suspek.
“Sebanyak 27 bungkusan yang mengandungi 12,766 gram heroin dan 20 lagi bungkusan mengandungi ganja seberat 19,772 gram ditemui dalam stor di kediaman lelaki berkenaan,” menurut kenyataan CNB Singapura hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan kes berkenaan masih dijalankan dan berdasarkan jumlah dadah yang dirampas ia mampu menampung keperluan 7,880 penagih heroin; 1,160 pengguna syabu dan 3,380 pengguna ganja untuk seminggu.
“Sindiket dadah akan sentiasa mengambil peluang menyeludup dadah di Singapura bagi mengaut keuntungan daripada penagih.
“Operasi berterusan menyasarkan penyeludupan dadah berjaya mengekang kegiatan dadah di Singapura yang boleh merosakkan masyarakat.
“CNB akan terus memantau kegiatan dadah ini dan mengambil tindakan tegas dalam melumpuhkan sindiket dadah,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

