Sinovac bukan untuk warga emas – KJ

0
2

KERAJAAN menafikan warga emas berusia 60 tahun ke atas hanya akan dapat vaksin China, Sinovac.

Perkara itu disahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, yang mendakwa ianya satu kekeliruan susulan tajuk satu berita baru-baru ini.

“Pengumuman saya sebelum ini Sinovac mendapat kelulusan JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) bagi usia 60 tahun ke atas, bukannya ia akan diguna eksklusif bagi kumpulan usia itu,” ciapnya di Twitter, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, dua vaksin sudah diluluskan JKJAV untuk kegunaan warga emas, iaitu Pfizer dan Sinovac.

Beliau berkata tajuk laporan yang dirujuk itu ‘mengelirukan’ seolah-olah warga emas hanya dapat Sinovac.

Minggu lalu, Khairy dilapor berkata vaksin Sinovac akan diberi kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas melalui program imunisasi fasa dua, bermula hari ini.

Menurut Khairy, JKJAV mendapati vaksin itu selamat, berkesan dan stabil untuk diberikan kepada warga emas, selain mengambil kira data terkini serta perkembangan penggunaannya di negara lain, termasuk Turki dan Brazil.

Dalam catatan berasingan, Khairy berkongsi beberapa warga emas yang menjadi penerima pertama vaksin Pfizer pada hari pertama program imunikasi fasa dua.

Antara penerimanya adalah seorang orang kurang upaya dan pesakit kronik berusia 84 tahun dari Sibu, Sarawak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here