Maszlee desak kerajaan jelas situasi Covid-19 sektor pendidikan

0
2

KERAJAAN perlu memberi penerangan situasi Covid-19 yang berlaku di sektor pendidikan bagi menghilangkan keresahan ibu bapa susulan peningkatan jangkitan membabitkan guru dan pelajar.

Perkara itu didesak Dr Maszlee Malek yang mahu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memberi penjelasan perkembangan jangkitan Covid-19 yang melanda sektor pendidikan ketika ini.

“Peningkatan kadar jangkitan wabak Covid-19 di institusi pendidikan mutakhir ini amat membimbangkan ramai pihak.

“Bukan sekadar para pelajar, guru, malah ibubapa/penjaga dan anggota masyarakat secara amnya merasa cemas atas peningkatan kadar jangkitan di sekolah-sekolah terutamanya.

“Hal ini tidak boleh dipandang remeh. Pihak berwajib terutamanya KPM dan KPT harus tampil untuk memberikan penjelasan. Para pemegang taruh perlu ditenteramkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rakyat amat menghargai segala usaha kerajaan untuk membendung wabak dari terus menular.

“Bagaimanapun, rakyat ingin tahu kluster manakah yang melibatkan sekolah, politeknik, kampus IPG, universiti mahupun kolej.

“Rakyat juga ingin tahu apakah langkah yang telah dan akan diambil dalam keadaan terkini demi membendung wabak dan juga mengelakkan spekulasi liar dalam kalangan masyarakat setempat yang terkait dengan kluster-kluster tersebut. Hal ini hanya akan menyebabkan ketidaktentuan di kalangan pemegang taruh.

“Rakyat semakin matang, maka pendekatan mendidik dan berkongsi informasi secara telus amat penting. Atas kesedaran ini, kami menuntut agar menteri-menteri berkaitan untuk tampil memberikan penjelasan yang sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pendidikan itu bersetuju dengan langkah yang diambil kerajaan yang hanya menutup sekolah yang pelajar dan gurunya dijangkiti Covid-19 sahaja.

“Tindakan KPM untuk tidak lagi menutup sekolah secara pukul rata dan menyerahkan keputusan dibuat di peringkat lokal adalah amat baik.

“Hal ini perlu diperjelaskan kepada pihak awam dan mengapa tindakan tersebut diambil juga perlu dikongsikan,”katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM) bahawa sekurang-kurangnya 146 sekolah rendah dan 40 sekolah menengah ada kes Covid-19 positif sejak 1 Mac lalu, selepas sekolah kembali dibuka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here