WANITA yang sedang berpantang selepas melahirkan anak kembar diselamatkan selepas dipercayai bertindak cuba menjerut lehernya sendiri menggunakan kain yang diikat pada jendela dalam sebuah bilik di Jalan Pasir Hor, Kota Bahru, Kelantan hari ini.
Dalam kejadian jam 12.29 tengah hari itu, suami wanita terbabit bertindak menghubungi pihak berkuasa selepas mendapati mangsa mengurungkan diri dalam bilik berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumbuh, Penolong Penguasa Bomba, El Taraff Mohd Zachariah berkata, wanita berusia 38 tahun itu baru melahirkan anak kembar pada 11 April lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan terlebih dahulu berkurung dan menguncikan pintu bilik.
“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 12.29 tengah hari apabila suami mangsa memberitahu isterinya telah menguncikan diri dari dalam bilik.
“Sebaik tiba di rumah itu, bomba berusaha memanggil wanita berkenaan tetapi tidak diendahkan dan terpaksa bertindak memecahkan pintu bilik,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata, sejurus berjaya membuka pintu, wanita berkenaan didapati berada dalam keadaan terbaring di atas katil dengan keadaan muka yang pucat.
“Melihat kepada situasi itu, kita tidak menolak kemungkinan mangsa cuba membunuh diri,” katanya.
El Taraff berkata, menurut suami mangsa, wanita berkenaan sebelum ini pernah cuba berbuat perkara sama namun gagal.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

