Curiga kematian bayi angkat, suami isteri buat laporan polis

0
1

IBU bapa angkat kepada seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu membuat laporan polis selepas curiga dengan kematiannya dan mengsyaki ia disebabkan penderaan. 
Mohd Nizam Jamaludin, 33, berkata bayi angkatnya, Muhammad Danish Hakimi, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada jam 10 pagi 28 Mac lalu. 
Katanya, sebelum itu arwah dirujuk ke HSA oleh doktor di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas terdapat kesan lebam di bahagian dahi, pipi dan tangan kanan selain terdapat pendarahan dalam kepala.
“Saya menjaga bayi berkenaan bermula Oktober hingga Januari lalu ketika dia berusia dua bulan sebelum diserahkan kepada bapa kandungnya empat bulan selepas itu.
“Bapa kandungnya memberi alasan datuk Danish mahu melihat cucunya itu. Namun pada 11 pagi 24 Mac lalu saya mendapat panggilan daripada ayah kandung bayi berkenaan memberitahu Danish koma di HSA kerana terjatuh dari sofa.
“Saya curiga dengan alasan diberikan kerana laporan doktor memaklumkan bayi berkenaan disyaki didera,” katanya seperti dilaporkan Kosmo. 
Menurutnya, selepas diselidik bayi berkenaan rupanya diserahkan kepada satu keluarga lain di sekitar pusat bandar Kluang.
“Saya tidak pasti apa motif keluarga berkenaan mahu menjaga Danish sedangkan, suami dan isteri berkenaan tidak bekerja serta mempunyai anak-anak yang masih kecil.
“Baru-baru ini, saya terserempak dengan keluarga berkenaan yang bertindak memarahi saya kerana masuk campur dalam kes kematian Danish,” katanya.
Mohd Nizam berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis mengenai kematian anak angkatnya itu dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera. 
Pada Januari lalu, negara digemparkan dengan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya selepas hanya beberapa bulan diambil daripada keluarga angkatnya. 
Mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam tong air di Taman Krubong Jaya, Melaka pada 29 Januari lalu dengan kesan cedera dan lebam pada anggota badan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here