Kerajaan dituntut laksana kuarantin wajib 14 hari

0
2
SEPANG 15 JULY 2016. Kelihatan orang ramai beratur untuk membuat pemeriksaan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke destinasi masing-masing. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KERAJAAN dituntut supaya menaikkan kembali tempoh kuarantin wajib bagi pelawat dari luar negara daripada tujuh hingga 10 hari ke 14 hari dengan serta-merta. 
Tuntutan itu dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meminta pelaksanaan itu dibuat terutama kepada pelawat dari India. 
Menurutnya, pada 15 Februari lalu, jumlah kes baharu Covid-19 di India adalah sekitar 9,100 orang, manakala Malaysia kira-kira 2,700 kes.
“Masa itu, beberapa pakar berpendapat bahawa keadaan Covid-19 di India sudah reda sebab antara 50 peratus hingga 60 peratus daripada penduduk di sana sudah mencapai imuniti secara semula jadi sebab ramai telah dijangkiti dan pulih tanpa disedari.
“Namun kes di India mula melonjak naik pada bulan lalu dengan kadar amat seram sehingga mencapai lebih 260,000 kes baharu semalam dan lebih 60 peratus daripada kes baharunya adalah dari varian baharu yang mempunyai mutasi berkembar yang kini digelar Covid-19 varian India,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 
Najib berkata, varian-varian berbahaya seperti mutasi UK dan Afrika Selatan yang telah berjaya menular dalam komuniti tempatan di Malaysia hanya ada satu mutasi.
“Tetapi varian India ini ada dua mutasi dan ramai pakar semakin bimbang sebab ia sedang menular dengan begitu laju sekali.
“Kebanyakan yang dijangkit pula adalah orang muda. Mereka yang sakit juga lebih sukar untuk dirawat berbanding varian lain.
“Pakar-pakar juga tak pasti jika vaksin Covid-19 yang ada sekarang akan berkesan ke atas varian baharu India ini,” katanya. 
Beliau berkata, sebelum ini berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN), masih ramai pengunjung dari India yang masuk ke Malaysia.
“Kluster Sivagangga yang mengganas di Kedah tahun lalu juga berpunca dari pelawat dari India yang ingkar kuarantin.
“Dengan ini, saya tuntut kerajaan PN (Perikatan Nasional) naikkan kembali tempoh kuarantin wajib bagi pelawat dari luar negara terutamanya dari negara India dari 7 hingga 10 hari ke 14 hari dengan serta-merta,” katanya. 
Menurutnya, kerajaan tidak perlu mengambil risiko serta jangan memperjudikan nyawa rakyat dan negara. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here