SESI libat urus mengenai rancangan pembangunan empangan hidro di Nenggiri, Gua Musang, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) baru-baru ini lberlangsung dengan harmoni.
SUHAKAM turut menyifatkan ia berjaya merungkai kegusaran impak pelaksanaannya kepada komuniti sekitar projek itu.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph yang mempengerusikan sesi itu berkata pihaknya berpuas hati dengan sesi libat urus yang berlangsung kerana pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memberi penerangan terperinci mengenai pelaksanaannya.
“Pihak komuniti Orang Asli yang terkesan dan terlibat (dengan projek ini pula) diberi peluang yang luas untuk membangkitkan sebarang pertanyaan dan kemusykilan.
“Proses keterbukaan antara semua pihak berkepentingan adalah cara penting untuk pembangunan berlaku berlandaskan prinsip hak asasi manusia.
“Kami mementingkan perkongsian maklumat dengan penuh keterbukaan di samping mencari cara lebih mesra yang dapat mengimbangi semua tuntutan hak pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Libat urus yang berlangsung selama tiga jam di Kuala Lipis, Pahang itu bertujuan memberi penerangan mengenai status semasa projek serta manfaat kepada penduduk Kelantan dan komuniti orang asli yang terkesan secara langsung dengan projek berkenaan.
Sesi dihadiri empat anggota SUHAKAM, enam pemimpin komuniti Orang Asli di tapak projek empangan hidro iaitu dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias; 11 dari kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK); serta pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan, Pejabat Daerah Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan TNB.
Timbalan SUK Kelantan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dalam ucapannya berkata sesi libat urus itu dapat memberikan penerangan lebih mendalam kepada mereka yang terkesan dengan projek itu.
“Kerajaan Kelantan mengalu-alukan pelaksanaan projek ini kerana ia bakal memberi manfaat kepada semua rakyat negeri, terutama komuniti Orang Asli yang terlibat di kawasan tersebut.
“Di samping itu, projek hidro ini dijangka membantu kerajaan negeri meminimakan impak fenomena banjir besar yang kerap melanda selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan dan menggiatkan eko-pelancongan,” katanya lagi.
Pengerusi JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom pula berharap pelaksanaan projek itu dapat disegerakan kerana penduduk ketiga-tiga perkampungan yang terlibat telah menunggu lapan tahun untuk ia dibangunkan.
“Majoriti penduduk di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias telah bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan memulakan kehidupan di tempat baharu seperti dipersetujui bersama JAKOA, Kerajaan Kelantan dan TNB.
“Kami telah menunggu lapan tahun untuk melihat projek hidro ini berjalan supaya komuniti Orang Asli yang terlibat dapat memulakan kehidupan yang lebih baik di tempat baharu nanti,” kata Ajeh lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti dalam taklimatnya memaklumkan TNB terbuka untuk mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dalam semua projek pembangunannya.
“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus dalam melaksanakan projek penjanaan elektrik, TNB sentiasa beriltizam memastikan setiap syarat dan peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa dan pihak kawalselia dalam melaksanakan projek penjanaan dipatuhi sepenuhnya.
“TNB juga komited memastikan komuniti Orang Asli yang terkesan bakal mendapat pembelaan serta bantuan yang sewajarnya sehinggalah projek ini siap sepenuhnya serta beroperasi kelak,” jelasnya. – Malaysiapost

