AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berharap pihak berkuasa tidak berkompromi terhadap majikan yang mendera dua pengawal peribadinya kerana berpuasa.
Sebaliknya, kata beliau, individu tersebut perlu dikenakan hukuman paling berat kerana turut menghina agama Islam dan Allah, selain memaksa pekerjanya tidak berpuasa serta memukul, mencederakan dan mengacukan pistol kepada mereka.
“Setelah menghina dan mencederakan orang Islam berpuasa baru nak minta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong?
“Harap pihak berkuasa jangan berkompromi. Hukuman paling berat mesti diambil kerana pertama, dia menghina agama Islam; kedua, dia menghina Allah; ketiga, dia bukan Islam tetapi memaksa orang Islam jangan berpuasa.
“Keempat, dia memukul dan mencederakan, kelima; dia mengacukan pistol kepada mangsa dan akhir, dia gangster. (Berikan pengajaran) Jangan fikir dia boleh buat apa sahaja.
“Apakah dia akan meminta maaf jika kedua-dua mangsa tidak berani membuat aduan polis dan menjadi viral?,” katanya menerusi Facebook.
Dalam masa sama, Puad berharap ada pihak yang prihatin untuk mengambil kedua-dua mangsa tersebut bekerja di syarikat mereka sempena Ramadan ini.
“Semoga keberanian mereka mempertahankan agama dibalas dengan rezeki yang murah dan iman bertambah,” katanya.
Semalam, suspek terbabit memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu sempat menyatakan permohonan maaf kepada pihak media ketika dia dibawa oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/17/majikan-belasah-bodyguard-kerana-berpuasa-mohon-maaf

