TIGA lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar pokok berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Klang Lama di ibu negara pagi tadi.
Nahas ngeri pada kira-kira jam 6.45 pagi itu menyebabkan kenderaan tersebut terputus dua dengan ketiga-tiga mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata bomba menerima panggilan pada jam 6.49 pagi.
Sejurus itu, seramai 18 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dan Pantai dikejar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta dipercayai terbabas lalu melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut bomba, kemalangan itu mengakibatkan kereta terbabit remuk dan terputus kepada dua bahagian.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan tiga lelaki yang tersepit. Ketika dikeluarkan dari kereta berkenaan, semua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pegawai perubatan mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Operasi mengeluarkan semua mangsa ditamatkan jam 7.55 pagi tadi.
Setakat ini identiti ketiga-tiga mangsa yang maut belum dikenalpasti. – Malaysiapost

