PENUBUHAN Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini dilihat dapat membantu membendung serta membanteras kegiatan judi tidak berlesen.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penubuhan pasukan khas itu adalah inisiatifnya dalam membasmi kegiatan judi tidak berlesen di negara ini, namun pasukan itu dibubar ketika pemerintahan Pakatan Harapan.
Presiden Umno itu, merujuk mengenai isu kegiatan judi yang hangat diperkatakan sekarang ini termasuk membabitkan kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya hanya kerana berpuasa hingga membongkar kegiatan sindiket judi haram majikan terbabit.
Menurutnya, kegiatan judi memang membinasakan dan menjadi pemangkin kepada jenayah selain judi iaitu intah darat, peras ugut, ragut dan banyak lagi.
“Tidak ada satu agama di dunia membenarkan judi selain tiada rasional pelaku melakukan tindakan berkenaan.
“Sebab itu semasa saya Menteri Dalam Negeri kita berusaha membasmi sehabis baik kegiatan judi tidak berlesen di negara ini.
“Kita gempur habis-habisan. Kita buat serbuan, tangkapan dan rampasan. Kita buka kertas siasatan dan dakwa mereka di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata, tidak cukup dengan itu kerjasama agensi berkaitan dilakukan bagi memotong bekalan elektrik dan air ke premis judi.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula kita minta ambil tindakan mengikut proses undang-undang yang ada bagi membasmi gejala tersebut.
“Kita turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga baharu. Ini berikutan terdapat pengusaha menyalah guna lesen dengan menganjurkan kegiatan judi terutama ketika musim piala dunia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, dengan tindakan itu hanya dalam tempoh setahun jumlah serbuan meningkat kepada 9,358 berbanding 1,584 pada tahun sebelumnya.
“Saya malah mengambil inisiatif berjumpa Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan memerangi judi tidak berlesen.
“Kemudian kita tubuhkan ‘special force’ yang amat digeruni penjenayah – STAGG yang memburu jerung-jerung jenayah dan menghapuskan kegiatan maksiat, judi dan gengsterisme di semua peringkat.
“Apapun itu cerita dulu. Semasa kerajaan BN (Barisan Nasional) mentadbir negara. Bagaimana selepas itu saya tidak pasti. STAGG pun telah dibubarkan oleh ‘Malaysia Baharu’,” katanya. – Malaysiapost

