Senarai pegawai, anggota polis tular tiada kaitan Geng Nicky – Ayob Khan

0
3
ayob khan polis johor official

SENARAI nama pegawai dan anggota polis yang ditularkan di media sosial kerana kononnya terbabit dengan pelbagai sindiket jenayah terancang, disahkan tiada kena mengena dengan kes Geng Nicky.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mendapati nama-nama yang ditularkan itu tiada kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan pihaknya. 
“Memang tiada kaitan setakat ini, tetapi saya tidak tahulah kalau mungkin ada kaitan dengan yang lain (kes lain).
“Kebelakangan ini, banyak benda ditularkan tentang polis. Jangan percaya dengan benda-benda itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Infaq Ramadan di Masjid Jannatul Firdaus di Taman Molek, Johor Bahru hari ini.
Sebelum ini tular di laman sosial senarai nama pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, yang dikatakan banyak terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah terancang iaitu dengan cara melindungi, bersubahat, bersekongkol, menyalahguna kuasa dan menerima rasuah.
Pekara itu menimbulkan persoalan sama ada mereka yang tersenarai merupakan antara pegawai polis yang terlibat dengan kes Geng Nicky.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pula dalam kenyataan hari ini memaklumkan seorang bekas pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan kerana disyaki menyebarkan senarai nama berkenaan yang dilihat sebagai tomahan yang sangat serius.
Suspek berusia 33 tahun itu ditahan semalam dalam satu serbuan di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah dan telah diberhentikan serta dikenakan hukuman pengawasan selama dua tahun kerana pembabitan dalam kegiatan kongsi gelap. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here