BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kehadirannya di program anjuran Kementerian Luar Bandar di Langkawi semalam adalah bagi menghargai pihak swasta yang bersama membantu rakyat melalui agensi kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, kehadirannya sama sekali tidak mempunyai kaitan politik atau sudah menjadi penyokong kerajaan.
“Sebagai wakil rakyat, saya hadir ke acara anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini bagi menghargai pihak swasta yang bersama-sama membantu rakyat Langkawi melalui agensi kerajaan.
“Kehadiran saya ini tidak punyai kaitan politik sama sekali. Ini bukanlah bermakna saya sudah jadi penyokong jerajaan. Saya masih dalam parti lawan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dr Mahathir berkata, perjuangannya dari dulu hingga sekarang masih sama iaitu mahu jayakan orang Melayu supaya tidak ketinggalan di negara mereka sendiri.
“Saya menghargai kesediaan pihak swasta membantu rakyat Langkawi. Di sini memang ramai yang perlukan bantuan. Tetapi saya tetap berpegang bahawa kita bukan setakat perlu beri bantuan wang secara percuma.
“Sebaliknya mengajar dan bekalkan kemahiran buat mereka yang ketinggalan untuk berusaha jana pendapatan dengan kemahiran dan latihan yang diperoleh. Dengan itu mereka lebih bebas dan tidak terhutang budi atau terlalu bergantung kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang berusaha bantu membangunkan dan atasi masalah di Langkawi apatah lagi ketika pulau pelancongan itu menghadapi kesan dari wabak Covid-19.
Beberapa gambar mengenai program Majlis Penyerahan dan Penghargaan Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu turut dikongsikan di Facebook Dr Mahathir.
Program yang diadakan di Masjid Al Ehsan, Temoyong, Langkawi itu dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad. – Malaysiapost

