TINDAKAN pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita yang cuba terjun dari sebuah bangunan kediaman Bandar Puchong Jaya, tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud, berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima laporan awam mengenai seorang wanita tempatan cuba terjun dari tingkat lima sebuah bangunan kediaman.
“Wanita itu berdiri di luar tepi banggunan tingkat lima, disyaki cuba untuk membunuh diri.
“Pihak Bomba telah dihubungi dan tindakan pantas pihak JBPM telah berjaya menyelamatkan wanita terbabit dari terjun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita terbabit dalam keadaan selamat dan telah di bawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
“Terima kasih kepada orang ramai yang bertindak cepat memberi maklumat kepada pasukan penyelamat dan seterusnya berjaya menggagalkan niat wanita terbabit,” katanya. – Malaysiapost

