PKPD 10 lokaliti di Sabah, Sarawak, Kelantan

0
2

KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan 10 lokaliti di Sabah, Sarawak dan Kelantan bermula esok hingga 1 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini mengumumkan langkah itu susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Tujuh lokaliti di Sabah adalah di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu; Kampung Bikang, Kampung Kadumu, Taman Khazanah Indah di Lahad Datu serta Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley di Tawau.

Dua lagi lokaliti adalah di Kampung Tengah, Betong dan Taman Medra Bako, Kuching, Sarawak, manakala satu lagi membabitkan Sekolah Menengah Sains Machang, di Kelantan.

Ismail Sabri turut mengumumkan, pelanjutan PKPD bagi seluruh kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di tiga Kolej Kediaman (KK) UMS iaitu KK Tun Mustapha, Tun Fuad serta Pengiran Ahmad Raffae dan kemudian ia meliputi keseluruhan kampus UMS.

“Sehingga kini 4,524 ujian saringan dijalankan dan 28 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan masih berlaku penularan jangkitan dalam kalangan penghuni asrama dan susulan itu kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di UMS bermula 19 April hingga 2 Mei ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan penamatan PKPD di lapan lokaliti membabitkan daerah di Pahang dan Sabah.

Menurutnya, PKPD yang ditamatkan adalah di lima kawasan taman perumahan dan kampung di Pekan, Pahang iaitu Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur dan Kampung Pulau Serai.

“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lima lokaliti tersebut pada hari ini lebih awal dari dijadualkan kecuali Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai yang dilanjutkan sehingga 22 April ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tiga lagi lokaliti yang ditamatkan PKPD adalah di Daerah Keningau, Kampung Ansip dan Kampung Kalindukan, Nabawan di Sabah bermula esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here