PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan gagal menangani wabak Covid-19 walaupun selepas 395 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hampir 100 hari sejak pengisytiharan darurat diumumkan.
Menurutnya, pelaksanaan PKP adalah kegagalan yang nyata dan darurat hanya helah pemerintah untuk terus berkuasa.
“Rencana vaksinasi juga tidak jelas dan lembab serta sikap kerajaan ini dalam mengemudi negara saat wabak dapat dikelaskan kepada dua kategori iaitu bila ia berjalan lancar, percayalah kami sedang menanganinya. Jika tidak, pemerintah akan bingkas menyalahkan rakyat.
“Namun, tidak akan ada sebarang kebertanggungjawaban kepada para pemimpin yang bertanggungjawab dalam merencana dan melaksana kebijakan, mendapatkan vaksin, dan juga memastikan agar rencana vaksinasi berjalan pantas dan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu terjadi apabila sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat yang menyalahguna wabak dan Perlembagaan untuk berpaut pada kuasa.
“Dalam hari-hari mendatang ini saya menjangkakan rakyat akan terus dibuli kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan beberapa pengumuman yang mengelirukan, yang sekiranya dilanggar akan dikenakan denda yang melampau tinggi.
“Beberapa pengumuman yang mengelirukan ini juga termasuk larangan rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, meski para menteri akan dibenarkan merentas negeri dan menganjurkan majlis,” katanya.
Anwar juga menggesa kerajaan untuk memberi respon kepada beberapa persoalan dibangkitkannya iaitu mengenai bekalan vaksin negara yang rendah, keupayaan mencapai 80 peratus kadar vaksinasi sebelum penghujung tahun ini dan mengapa dengan penutupan sempadan dan tahap kuarantin yang ketat kita masih dikesankan dengan mutasi wabak yang berbahaya di Malaysia.
Beliau membangkitkan persoalan mengenai kemaskini terbaru terkait dalam hal memastikan sektor swasta bertanggungjawab atas penularan wabak Covid-19 di kalangan pekerja asing selain apa yang telah dilakukan kerajaan setakat ini bagi meyakinkan rakyat untuk mendapatkan vaksin.
Beliau juga mempersoalkan mengenai apa metrik yang digunakan oleh jawatankuasa ditubuhkan dalam kesungguhannya mengesyorkan penamatan darurat. – Malaysiapost

