Polis tingkat kan pemantauan, rondaan di Jalan TAR

0
2

POLIS meningkatkan pemantauan dan rondaan di bazar Ramadan dan Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang mula beroperasi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata secara keseluruhan terdapat 16 lokasi bazar membabitkan kawasan Dang Wangi yang diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Paling besar sekali adalah di Jalan TAR yang bermula hari ini bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19

“Tetapi oleh kerana tahun ini kita masih lagi dalam suasana pandemik, lesen yang diluluskan hanya 208 sahaja di Jalan TAR,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan awam pihaknya membentuk 55 pasukan pematuhan dan rondaan

“IPD Dang Wangi membentuk pasukan yang agak ramai iaitu pada masa ini kita ada 55 pasukan pematuhan yang akan membuat rondaan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP dan pasukan ini akan di tambah lagi kerana adanya bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

“Ini juga bagi memastikan keselamatan orang awam supaya tidak menjadi mangsa jenayah seperti penyeluk saku, ragut, samun dan sebagainya,” katanya

Beliau berkata, pegawai dan anggota yang beruniform serta berpakaian preman juga akan ditempatkan di lokasi berkenaan.

“Polis ingin memastikan semua orang sama ada peniaga atau pengunjung mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan tanpa kompromi jika ada pelanggaran contohnya tiada penjarakan fizikal, tidak guna pelitup muka atau tidak imbas MySejahtera dan tidak tulis di buku pendaftaran.

“Kita akan ambil tindakan tanpa kompromi kerana keadaan semasa didapati kes Covid-19 kembali meningkat,” katanya.

Menurutnya, rondaan melalui kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan sebagainya akan sentiasa kelihatan berbanding kebiasaan kerana bermulanya bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan TAR

“Saya menasihatkan orang ramai yang ke bazar khususnya di Jalan TAR supaya beringat dan berwaspada bukan sahaja dalam SOP tetapi juga memastikan tidak menjadi mangsa jenayah.

“Jika penganjur gagal memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP mereka juga tertakluk untuk dikenakan kompaun di mana kadar kompaun ke atas mereka adalah lebih tinggi berbanding individu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here