PM bersuara, pandang serius isu Khairuddin

0
2

Fitri Nizam

KERAJAAN menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh menteri berkenaan setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

“Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.

“Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu Khairuddin yang dikatakan ingkar perintah kuarantin wajib selama 14 hari sebaik pulang dari luar negara.

Bagaimanapun, Khairuddin dilaporkan sudah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.