KPM ambil tindakan terhadap sekolah tetapkan sukan ikut kaum

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebuah sekolah yang mengeluarkan panduan pemilihan aktiviti sukan pelajar mengikut kaum.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata tindakan sekolah itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah sebagai medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan.

Beliau turut mengakui terkejut dan dukacita apabila dimaklumkan mengenai tindakan sekolah terbabit.

“Apabila melihat panduan tersebut, terlintas dalam fikiran: Aduh, kenapa perlu sedemikian? Biarlah anak-anak kita main bersama tanpa mengira siapa mereka!”

“Kita tahu bahawa sukan adalah satu medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan. Dalam bersukan, semua ahli pasukan akan berikhtiar sehabis baik untuk memperoleh kemenangan.

“Tentunya tidak pernah terlintas di benak fikiran mereka ‘Aku kaum lain, maka….’. Tidak sama sekali. Sebab itulah sukan merupakan wadah yang dapat mewujudkan satu semangat kebersamaan yang jitu,” katanya menerusi Facebook.

Dalam hantaran sama, beliau berkongsikan pencapaian dan kejayaan dilakar dalam sejarah sukan negara, sekali gus membuktikan penyatuan dan perpaduan semua kaum di Malaysia.

“Bila pasukan atau atlet Malaysia bertanding, tanpa mengira siapa mereka, seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dengan penuh semangat patriotik bangkit menyokong sepenuh jiwa.

“Lupakah kita kehebatan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980? Masih ingatkah kita kecemerlangan pasukan hoki kebangsaan yang menduduki tempat ke empat Piala Dunia 1975?

“Bukankah kita bangun bersorak apabila pasukan badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992? Kejayaan besar negara di peringkat antarabangsa ini dibentuk atas semangat perpaduan utuh satu pasukan.

“Kegembiraan disambut seluruh rakyat dengan linangan air mata tanpa mengira siapakah ahli pasukan negara!,” katanya.

Terdahulu, sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor dilaporkan mengeluarkan notis kepada pelajar Tingkatan 1 memilih tiga kegiatan kokurikulum.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan isu selepas beberapa kegiatan sukan dihadkan kepada kaum dan jantina tertentu sahaja.

Menurut notis itu, hanya pelajar Melayu dibenarkan memilih sukan bola sepak dan sepak takraw manakala bola jaring untuk pelajar perempuan Melayu sahaja.

Bagi sukan bola keranjang dan ping pong pula dihadkan kepada pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluahkan rasa kesal dengan tindakan sekolah berkenaan.

Reezal Merican berkata, sukan sepatutnya tidak bersifat perkauman, melangkaui sempadan budaya dan menjadi ejen perpaduan dan tindakan sekolah terbabit adalah tidak wajar dan terkebelakang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here