POLIS kini memburu seorang lelaki dipercayai memainkan peranan utama dalam kes penularan dua muzik video Aidilfitri yang mempromosikan perjudian atas talian di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata hasil siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua video berkenaan adalah daripada syarikat produksi yang sama cuma pelakon sahaja berbeza.
“Polis kini sedang mengesan Loh Kee Hoe, 35, yang alamat terakhir di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes penularan video hari raya.
“Dua video itu membabitkan isu yang sama iaitu berkenaan dengan promosi judi online,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Menurutnya, dalam perkembangan siasatan video pertama yang tular sejak semalam setakat ini daripada lapan individu yang ditahan, dua daripadanya direman lima hari bermula hari ini hingga 21 April ini.
Manakala enam lagi ditolak reman oleh Majistret atas alasan mereka hanyalah pelakon selain memberikan kerjasama dan berjanji akan memberi kerjasama lagi apabila diperlukan.
“Video kedua pula ada beberapa pelakon lelaki dan wanita. Mengikut maklumat siasatan awal yang diperoleh adalah daripada syarikat produksi di yang sama cuma pelakon sahaja berbeza.
“Namun difahamkan pelakon video pertama dan kedua ada kaitan maknanya mereka mengenali jadi kita sedang mengesan mereka,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, dua yang direman adalah pengarah dan jurukamera manakala enam yang tidak direman adalah pelakon serta seorang ejen yang mencari pelakon.
“Siasatan juga mendapati pelakon muzik video berkenaan dibayar dengan bayaran RM180 sahaja seorang.
“Polis percaya individu yang sedang diburu itu boleh membantu mengesan dalang sebenar kegiatan judi online di negara ini dan polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memudahkan siasatan,” katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menasihatkan dan meminta mereka yang terbabit dalam pengeluaran video berkenaan sama ada pelakon, penerbit atau sesiapa juga yang terbabit supaya tampil membantu siasatan.
“Kita tidak pernah berkompromi dengan sebarang kegiatan perjudian, kerana mempromosikan judi online menggunakan video atau dengan apa cara sekalipun sama ada secara fizikal atau melalui media sosial adalah satu kesalahan yang boleh kita siasat mengikut Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka perbuatan menerbitkan, menghasilkan apa-apa bentuk yang mempromosikan kegiatan judi adalah satu kesalahan
“Kita juga menyiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat untuk memecah keamanan dan juga mendatangkan kegusaran awam dan siasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya. – Malaysiapost

