Kerajaan PN gagal, biar tauke judi eksploitasi rakyat – Mujahid

0
2

NAIB Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa kecewa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal mengendalikan isu judi sehingga ada pihak berani mempromosikannya secara terang-terangan.

Beliau berkata, kerajaan hari ini membiarkan tauke judi mengeksploitasi rakyat supaya berjudi untuk meringankan kesempitan hidup mereka. 

“Rakyat yg terdesak akan terus dihimpit penderitaan khususnya B40 dan M40 dengan berleluasa ketagihan judi. Yang akan kaya tauke judi manakala yang rosak adalah institusi keluarga, remaja dan masyarakat.

“Manakala wanita akan menjadi mangsa keganasan rumahtangga, dan kerajaan akan berhadapan soal produktiviti yang kini sudahpun semakin parah dengan peningkatan ketidaksepadanan kerja dan pengangguran serta hilang pendapatan untuk hidup,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan menjana pendapatan dari cukai judi yang didakwa sangat lumayan. 

Katanya, pada 2013 cukai judi memulangkan hasil sebanyak RM130 juta kepada kerajaan dan syarikat judi juga menaja berbagai program sukan negara.

“Semasa saya jadi Menteri Agama, tauke besar judi ada jumpa saya cuba meyakinkan saya pulangan berbilion cukai yg akan didahulukan dengan syarat kerajaan setuju panjangkan tempoh lesen kepada lima tahun.

“Sebagai Menteri Agama, saya jelaskan tidak berbaloi kerosakan judi dalam masyarakat dibanding dengan pendapatan yang dijanjikan walaupun kerajaan waktu itu perlukan dana. 

“Perkara tersebut dibawa ke kabinet dan dibahas panjang dari sudut keperluan pendapatan. Saya diberi ruang untuk pandangan terakhir. Saya berkata, polisi cukai harus diubah dari bergantung pada cukai judi kerana implikasi dalam institusi keluarga akan terjejas dan masyarakat akan jadi ketagih judi dan produktiviti negara akan terjejas,” ujarnya.

Tambahnya, Islam mengharamkan judi kerana kesannya merosakkan masyarakat dan negara. 

“Jangan hanya bercakap tentang pendapatan negara tetapi kita mendedahlan institusi keluarga dan masyarakat hancur dengan berleluasanya judi. Saya menolak cadangan ini sekerasnya!

“Alhamdulillah perbincangam berakhir dengan kabinet PH waktu itu menolak memanjangkan tempoh lesen judi dan telah mengurangkan cabutan khas judi untuk memelihara kesejahteraan masyarakat dan institusi keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kini operator judi semakin kreatif dengan menggunakan lagu raya dan kesyahduan Syawal bagi dijadikan latar promosi judi. 

“Tak seronok raya kerana tak ada duit oleh itu pergilah berjudi dengan BET333. Dalam promo iklan itu digambarkan seolah kegembiraan Syawal diserikan dengan berjudi. 

“Pelakon promosi siap bertudung sambil dilatari keseronokan Syawal. Rosak kemuliaan Syawal yang merupakan hari kita bertakbir dan bertahmid bertemu sanak saudara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan Kerajaan PN yang disifatkannya terdesak  untuk menjana pendapatan yang diperakui hari ini oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kantung negara semakin susut. 

“Apakah cukai judi penyelamatnya dengan gaya promosi yang tak pernah berlaku sebelum ini?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here