AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ menghulurkan bantuan kepada seorang ibu tunggal anak lima yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak 2019.
Menurut perkongsiannya di Facebook, wanita terbabit merayu pertolongan daripada Uncle kentang, kerana tidak dapat melunaskan pembayaran tertunggak bil elektrik tersebut.
Justeru, katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memotong meter elektrik di rumah keluarga berkenaan dan ia mengambil masa untuk memperbaharuinya.
“Jam menunjukkan jam 4.35 pagi. Saya sudah bangun tidur. Tengok mesej dan baca. Rayuan dari seorang emak yang mempunyai enam anak. Bekalan letrik telah dipotong sejak 2019.
“Meter pun telah dicabut oleh TNB kerana tak bayar. Nak pasang baru dengan penama dan akaun baru, perlu surat kelulusan DBKL. DBKL minta surat cerai sah. Tetapi apa lah daya kerana surat cerai pun nak pakai wang juga. Bukan cerai terus minta boleh dapat.
“Ramai wanita sangkut bab ini. Kerana nak pergi pejabat kadi pun tambang tak ada. Nak beli ‘tuala wanita’ pun kadang-kadang ada yang tak mampu… apatah lagi nak adakan tambang mundar-mundir ke pejabat kadi.
“Nak pula anak ramai. Nak jaga anak atau pun nak kejar surat cerai? Dilema seorang wanita yang di lafazkan talak cerai. Nak jalankan tanggungjawab sebagai ibu bagi anak makan, mana lah nak cari duit untuk tambang ke pejabat kadi,” katanya menerusi Facebook.
Uncle Kentang berkata, kebanyakan wanita yang dicerai tanpa surat perceraian yang sah susah untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, katanya, ibu tunggal itu menerima bantuan dari pihak Baitulmal dan juga bekerja dengan gaji RM120 seminggu namun tidak mencukupi untuk membayar bayaran tertunggak elektrik rumahnya.
“Tanpa surat cerai sah, di anggapkan masih berkahwin sah dan banyak benda tak dapat di selesaikan. Bukan taraf ibu tunggal banyak keistimewaan bakal terlepas di beri.
“Balik cerita wanita dengan lima anak di San Peng flat. Kegelapan. Ada anak yang masih bersekolah. Penerima Baitulmal RM500 sebulan. Penerima makanan dari Baitulmal untuk bulan Ramadhan. Beliau kerja di pasar tolong kawan, RM 120 seminggu dan kini pasar Ramadhan lebih sikit rezeki diberi gaji RM60 sehari,” katanya.
Berkongsi mesej yang diterima daripada wanita malang itu, Uncle Kentang berkata, ibu tunggal itu memaklumkan dia kecewa kerana tidak mampu menyediakan keselesaan kepada anak-anaknya yang terpaksa hidup bergelap walaupun tinggal di tengah-tengah ibu kota.
“Uncle, bantulah kami.Saya bukan tak berusaha, saya cuba… kami makan pun jimat jimat. Terima kasih Baitulmal bantu setiap bulan RM 500… itu hari Baitulmal juga ada bantu bayar letrik RM1,000 dan sewa RM1,000. Tetapi yang tertunggak masih banyak dan TNB suruh jelas RM 1,800 sekurang-kurangnya agar di sambung semula bekalan eletrik,” tulis wanita itu.
Sementara itu, dalam hantaran lain, Uncle Kentang memaklumkan bahawa beliau berjaya melangsaikan hutang elektrik ibu tunggal tersebut dengan bantuan orang ramai.
“Selesai bil TNB… tertunggak di langsaikan. Kini kita akan mohon untuk dapatkan meter baru dan masukkan bekalan letrik secepat mungkin.
“Bukan itu sahaja, kita akan melawat dan check… kalau tiada peti sejuk… kita akan lengkapkan… terima kasih kepada semua orang ‘gila baik’ dalam memberi derma walaupun kita tidak minta.
“Anda semua hebat giler. Malaysia awesome kerana penderma datang dari semua bangsa. Malaysia hebat sungguh,” katanya. -Malaysiapost

