Teresa dapat perintah kebankrapan terhadap Azwanddin

0
3

AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok memperoleh perintah kebankrapan terhadap Datuk Azwanddin Hamzah kerana gagal mematuhi persetujuan dalam penyelesaian luar mahkamah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan petisyen kebankrapan terhadap Azwanddin Hamzah pada 29 Mac, kata Teresa.

Menurut perintah mahkamah itu, Azwanddin tidak tampil mencabar prosiding terhadapnya.

“Ketua pengarah Jabatan Insolvensi akan mengambil alih dan menguruskan aset penghutang (Azwanddin).” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan Azwanddin, yang juga bekas presiden Jaringan Melayu Malaysia, supaya hadir di pejabat Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur selepas perintah itu diserahkan kepadanya.

Teresa memfailkan saman terhadap Azwanddin pada 2019 berhubung dakwaannya ketika perhimpunan sempena kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, bahawa bekas menteri itu terlibat dalam pertikaian tanah berkaitan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

Kata Teresa, beliau tidak pernah terlibat dengan rusuhan di kuil itu pada November 2018 dan kenyataan Azwanddin jelas bermotif buruk serta berniat jahat.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan di luar mahkamah pada Julai tahun sama dan Azwanddin sepatutnya membayar jumlah yang tidak didedahkan selain menyiarkan permohonan maaf di tiga akhbar, iaitu The Star, Sin Chew Daily serta Sinar Harian.

Bagaimanapun, Azwanddin gagal membuat bayaran dipersetujui itu menyebabkan Teresa memulakan prosiding kebankrapan terhadapnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here