POLIS mengesahkan suspek utama kes majikan pukul dua pengawal peribadi yang berpuasa akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan kes terbabit hampir lengkap dan pihaknya akan mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
“Reman suspek akan tamat pada Sabtu dan kita akan serahkan dia ke IPD Klang Selatan untuk siasatan di sana.
“Dalam masa sama, kita akan hantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya.
Mohamad Zainal memaklumkan suspek berusia 43 tahun itu berada dalam tahanan reman tiga hari di Ibu IPD Dang Wangi selepas ditahan di sebuah lokasi di Klang, Selangor kira-kira jam 8.30 malam Rabu susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
Dalam kejadian Selasa lalu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor, sebelum dipukul dengan sebatang rotan serta diacu pistol.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, empat individu merupakan pekerja kepada majikan tersebut telah ditahan pihaknya yang kini direman selama lima ke tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

