Iklan judi: Sengaja guris perasaan, cetus provokasi umat Islam

0
1

Nurul Huda Abhar

IKLAN mengaitkan perjudian dengan sambutan Hari Raya adalah tindakan yang sengaja mahu mengguris perasaan umat Islam dan seakan-akan cubaan mencetuskan provokasi dalam bulan Ramadan.

Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nasrudin Hassan, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas berhubung iklan tersebut kerana ia satu usaha ingin mencemarkan maruah Islam, terutamanya menggunakan lakonan atau iklan hari raya untuk judi.

“Tindakan ini tidak boleh dibiarkan bagi negara Islam sebagai agama persekutuan. Selayaknya tiada mana-mana pihak muslim atau bukan muslim melakukan perkara yang memperkecilkan dan menghina agama Islam seperti yang dilakukan ini.

“Jadi diharapkan pihak berkuasa segera menyambil tindakan menyiasat siapakah di sebalik pengeluaran video dan mereka seharusnya dikenakan tindakan dengan peraturan yang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost

Nasrudin berkata, mutakhir ini beliau melihat banyak perkara yang sengaja mahu menimbulkan provokasi kepada umat Islam termasuk insiden majikan memukul pekerjanya kerana berpuasa.

Beliau berkata, isu-isu seperti itu adalah gambaran penghinaan terang-terangan terhadap agama Islam dan juga ianya menjadi cabaran besar buat umat Islam itu sendiri.

“Saya menasihatkan kepada pihak-pihak tertentu supaya menghentikan tindakan-tindakan seperti ini kerana ia menjadi satu provokasi kepada umat islam yang nantinya akan mencetuskan kemarahan umat islam.

“Kalau mahu jaga keamanan, kedamaian dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, bangsa di negara kita maka elakkan daripada perkara-perkara seperti ini.

“Dalam Islam judi diharamkan, dan Hari Raya adalah ibadah. Bagaimana mereka boleh kaitan Hari raya dengan judi?,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau menyuarakan kebimbangan jika tindakan mencetuskan provokasi seperti itu berlarutan maka akan membawa keburukan kepada negara.

“Kita kena cegah tindakan melampau ini kerana umat Islam ada maruah. Saya bimbang jika diteruskan akan membawa kepada keadaan lebih buruk dan tidak terkawal,” kata beliau.

Terdahulu, Syarikat GDBET333 mengeluarkan iklan mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana untuk balik ke kampung dan menyambut Hari Raya.

Dalam iklan berdurasi 2 minit 29 saat itu memaparkan seorang pemuda lelaki yang sedih tidak boleh pulang ke kampung kerana kekurangan wang, dan gembira mendapat wang yang banyak setelah berjudi di GDBET333. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/iklan-judi-raya-tak-boleh-campur-aduk-ibadat-perkara-haram-mufti/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here