PENYANYI dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL menjadi bualan hangat netizen apabila timbul gosip dikatakannya menjalinkan hubungan istimewa dengan Ariel, yang juga penyanyi dari negara itu.
Berita tersebut tercetus apabila tersebar foto BCL kelihatan mesra memeluk Ariel dari belakang, dan dari situ muncul spekulasi adakah mereka kini sedang bercinta.
Kebelakangan ini, kemesraan BCL dan Ariel mencuri tumpuan netizen kerana sering terlibat dalam projek yang sama.
Malah, foto yang tular itu dikatakan antara salah satu adegan dalam muzik video Mencari Cinta, dendangan terbaharu mereka.
Muzik video tersebut bakal menemui peminat secara rasmi pada 23 April ini di platform YouTube.
Rata-rata peminat sudah tidak sabar menantikan gandingan dua penyanyi itu menerusi lagu terbaharu mereka.
BCL sebelum ini berkahwin dengan aktor dari Malaysia iaitu Ashraf Sinclair dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah.
Suaminya meninggal dunia pada 18 Febuari tahun lalu akibat serangan jantung di kediaman mereka di Jakarta. – Malaysiapost

