WALAUPUN berdepan tekanan politik berterusan, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau akan terus memimpin parti itu dengan penuh tawaduk dan kesabaran.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah menganggap jawatan Presiden Umno sebagai nikmat hidup sebaliknya satu amanah yang perlu digalas demi agama, bangsa dan negara.
Katanya, beliau komited memelihara kemaslahatan parti, jutaan ahli Umno dan seluruh rakyat tanpa prejudis serta akan terus bersabar menghadapi cabaran mendatang.
“Sabar perkataan yang mudah untuk diungkap, tetapi kadangkala susah untuk dilaksanakan. Sabar bukan sahaja bererti menahan diri daripada berasa marah atau sedih.
“Sabar juga bermaksud menahan diri daripada nikmat dan godaan hidup. Minum itu nikmat, wang dan tidur itu nikmat, jawatan dan kedudukan juga dikaitkan dengan nikmat.
“Tetapi ada juga ‘nikmat’ memberi kesan yang merosakkan kepada diri dan sekeliling. Mampukah manusia bersabar dengan menahan diri daripada ‘nikmat’ seperti itu?,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, sifat sabar cukup hebat sehingga Allah menyebutnya dalam Al-Quran dalam banyak tempat.
“Antaranya Surah Al-Baqarah ayat 153; “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Bermaksud sabar mendekatkan diri kita dengan Allah yang merupakan kekuatan jiwa orang mukmin,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam nada kiasan berkata, lawan kepada sifat sabar itu adalah tamak dan gelojoh selain pentingkan diri.
Walaupun tidak ‘menujukan’ terhadap mana-mana individu, Ahmad Zahid berkata, sebagai pemimpin beliau akan terus berpegang kepada sifat sabar.
“Mereka yang tiada sabar akan bersikap gelojoh dan tamak. Gelojoh untuk memuaskan hasrat hati tanpa mempedulikan erti kebenaran dan kejujuran.
“Lawan kepada sifat sabar pentingkan diri. Tidak peduli kepada yang lain demi kemahuan diri. Kerana itu dalam diri pemimpin perlu ada sifat sabar. Segala cabaran ditempuhi penuh berhemah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, seorang pemimpin tidak akan lemah terhadap ‘panah-panah’ fitnah jika dirinya dibentengi nilai kesabaran.
“Saya tidak pernah menganggap jawatan Presiden Umno sebagai nikmat hidup. Sebaliknya satu amanah yang perlu digalas menjaga kepentingan agama, bangsa negara.
“Memelihara kemaslahatan parti, jutaan ahlinya dan seluruh rakyat tanpa prejudis. Insya-Allah Presiden Umno akan tetap memimpin dengan penuh tawaduk dan kesabaran,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berdepan tekanan politik daripada beberapa pemimpin Umno yang mendesaknya melepaskan jawatan sebagai presiden secara terhormat.
Desakan itu dibuat susulan audio rakaman perbualan antara mirip suara Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang strategi politik semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 , tular di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan antara beliau dan Anwar sebagaimana dalam audio rakaman yang tular di media sosial itu selain mendakwa dirinya menjadi mangsa politik jahat untuk melemahkan atau memusnahkan Umno.
Selepas penafian dibuat Ahmad Zahid, Anwar juga turut mengambil langkah sama dengan menafikan perkara itu. – Malaysiapost

