“Kami hilang tempat bergantung” – ibu

0
2

PENGHANTAR makanan yang maut ditimpa dahan pokok tumbang di Jalan Damai Jasa di Kuala Lumpur semalam, adalah harapan ibu serta empat adik-adiknya. 

Sebagai anak sulung, Allahyarham Syed Izzat Izzudin Syed Mohd Zaidi, 20, memikul tanggungjawab membantu ibunya menanggung keluarga selepas bapanya sakit dan tidak dapat bekerja. 

“Dia anak harapan keluarga. Saya tidak mampu untuk menahan kesedihan dengan pemergiannya ini,” kata Inang Suhana Abu Bakar, ibu kepada arwah. 

Menurut Harian Metro, dia mendapat perkhabaran anak sulung daripada lima beradik itu terlibat dalam kemalangan setelah dihubungi rakan arwah pada jam 4 petang. 

“Saya segera hubungi adik ipar yang tinggal berdekatan lokasi kejadian untuk pergi melihat keadaannya. 

“Beberapa minit kemudian adik ipar hubungi semula beritahu Izzat sudah meninggal dunia,” kata wanita berusia 44 tahun itu. 

Inang Suhana yang bekerja di kedai makan berkata sebelum keluar bekerja Syed Izzat Izzudin sempat menghantar dua adiknya berusia 12 dan lapan tahun ke sekolah agama. 

“Sebelum keluar rumah, Izzat masuk ke bilik saya beritahu nak keluar bekerja dan bercerita keadaan cuaca ketika ini yang sering hujan waktu petang. 

“Saya sedih kerana Izzat pergi secara mengejut. Tambahan pula ia berlaku di bulan Ramadan dan tidak lama lagi nak menyambut Syawal. Namun saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya. 

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) hari ini. 

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, Syed Izzat Izzudin maut dihempap dahan pokok tumbang di Jalan Damai Jasa berhampiran sebuah stesen minyak. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata mangsa dalam perjalanan dari Jalan Damai Jasa menghala ke Taman Len Seng sebelum dahan sebatang pokok secara tiba-tiba jatuh dan menghempap mangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here