‘Murtabak Rahmat’ jadi igauan warga kota

0
1

Najamuddin Mohd Nor

BAGI pengunjung bazar Ramadan Kampung Baru yang terletak di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, pasti akan rasa serba tidak kena jika pulang tanpa membeli Murtabak Rahmat. 

Keenakannya telah menjadi ‘igauan’ terutama kepada siapa yang menjadikan murtabak sebagai juadah wajib berbuka puasa. Dah rasa pasti nak lagi. 

Maka tidak hairanlah apabila tiba Ramadan, peniaga Murtabak Rahmat yang dikenali dengan nama Rizal Effendi, 50, tidak menang tangan untuk membuat murtabak bagi memenuhi permintaan ramai. 

Telah menjadi kemestian buat anak jati Kampung Baru Kuala Lumpur itu berniaga di bazar Ramadan Kampung Baru sejak lebih 10 tahun yang lalu. 

Rizal dengan dibantu isteri dan keluarga menyediakan pelbagai resepi murtabak berasaskan ayam dan daging. 

“Tahun ini saya telah cipta resepi baru iaitu murtabak cheese, memang lagi sedap dan power. Nak yang mana, boleh rasa ayam atau daging,” katanya ketika ditemui Malaysiapost. 

Menurut Rizal, dia menjual harga sekeping murtabak biasa (ayam/daging) hanya RM3.50, manakala murtabak cheese RM7.00. 

“Saya jual murah, harga berpatutan. Sekarang ramai tengah susah di zaman Covid-19 ni, jadi biarlah ramai yang dapat membeli dan merasai Murtabak Rahmat ni. 

“Biar untung siket, janji ada. Alhamdulillah dapat berniaga tahun ini pun dah besar rahmat,” katanya. 

Rizal menambah, jika cuaca baik, dia mampu menjual lebih 300 murtabak sehari. 

Pada masa sama, Rizal mengingatkan orang ramai yang berkunjung di bazar Ramadan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Alhamdulillah, tahun 2021 bazar Ramadan dibuka, dan semua peniaga termasuk saya bersyukur kerana dapat mencari rezeki.

“Saya dah lebih 10 tahun berniaga di sini, hanya tahun lepas sahaja agak malap kerana PKP dan terpaksa menjual secara online. Harap semua dapat patuh SOP, jaga jarak, dan pakailah pelitup muka jika nak peniaga  terus berniaga dan orang ramai pun dapat membeli juadah kegemaran di sini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here