Polis akan panggil pelakon terlibat video galak umat Islam berjudi

0
2

POLIS menerima satu laporan yang telah dibuat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung sebuah video tular yang mempromosikan perjudian atas talian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, isi kandungan video tersebut jelas didapati melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh JSJ Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video ini.

“Siasatan polis akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat di dalam video ini.

“Mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Skmm) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” kata beliau.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka, yang berpangkalan di luar negara.

Terdahulu, Syarikat GDBET333 mengeluarkan iklan mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana untuk balik ke kampung dan menyambut Raya. 

Dalam iklan berdurasi 2 minit 29 saat itu memaparkan seorang pemuda lelaki yang sedih tidak boleh pulang ke kampung kerana kekurangan wang, dan gembira mendapat wang yang banyak setelah berjudi di GDBET333. – Malaysiapost

Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/skkm-ambil-tindakan-iklan-tidak-senonoh-galak-umat-islam-berjudi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here