Lantik seorang lagi timbalan menteri ada pula duit? – soal Syed Saddiq

0
1

PELANTIKAN Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Guan Dee Koh Hoi sebagai timbalan menteri pelancongan, bukti kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih mengutamakan hal survival politik berbanding rakyat.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau hairan bagaimana kerajaan PN boleh melihat pelantikan seorang timbalan menteri pelancongan itu mampu membantu rakyat yang kesusahan.

“Kali ini, kerajaan nak lantik seorang lagi timbalan menteri untuk Kementerian Pelancongan. Bukan sahaja sekarang, rakyat tidak dibenarkan melancong. 

“Tapi saya hairan bagaimana kerajaan boleh melihat perlantikan seorang timbalan menteri pelancongan ini akan membantu rakyat mengisi perut yang kosong,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan ada wang untuk melantik seorang lagi timbalan menteri untuk membarisi kabinet.

“Untuk hal-hal politik, memang banyak cara dan daya. Nak buat mesyuarat di negeri lain, boleh. Nak buat jelajah politik, boleh. Nak tutup Parlimen pun boleh.

“Tapi kalau untuk rakyat, memang susah dan banyak halangan. Nak minta laptop yang dijanjikan kerajaan, sampai hari ini tak dapat.

“Nak tuntut bantuan e-wallet pelajar, tak tertunai lagi. Nak mohon bantuan kewangan, kerajaan suruh buka simpanan KWSP sendiri. Nak minta moratorium untuk tangguh sebentar bayaran kepada bank, tak lulus-lulus,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ternyata agenda kerajaan PN adalah untuk meneruskan talian hayat politik semata-mata.

“Jadi itulah keutamaan kerajaan hari ini. Kerajaan PN lebih berfikir hal survival politik berbanding survival rakyat.

“Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri syukur dapat gaji dan jawatan. Rakyat pula hilang kerja, tutup kedai, kereta dan rumah kena lelong,” katanya.

Semalam, media melaporkan Dee Koh Hoi dijangka akan mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan, hari ini.

Beliau akan menggantikan tempat Presiden Star, Datuk Seri Jeffry Kitingan yang mengosongkan  jawatan tersebut setelah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Guan Dee dijadual mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuang Agong di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok.

Kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kabinet yang besar iaitu seramai 32 menteri dan 38 timbalan menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here